Pengorbanan ibu adalah sesuatu yang sukar digambarkan oleh kata-kata. Betapa besar pengorbanan ibu tidak akan dapat dibalas oleh mana-mana anak di atas muka bumi ini. Namun begitu, usaha anak-anak untuk membalas jasa ibu mereka sebenarnya sudah cukup untuk mengembirakan hati seorang ibu. Tidak akan dihitung oleh ibu tentang pengorbanan yang telah di lakukan kepada anak-anaknya.
Semalam saya terbaca tentang kisah seorang anak yatim yang kini tinggal di Rumah Anak Yatim Raudhah. (Tak ingat namanya) Sungguh hebat anak muda ini yang baru berumur 17 tahun kerana sanggup menyimpan duit raya yang disedekah oleh pelbagai pihak kepadanya. Simpan kerana apa? Simpan kerana mahu membelikan baju raya buat ibunya kerana katanya sudah 5 tahun ibu tidak memiliki baju raya! Lihatlah betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan tidak lupa juga tentang pengorbanan seorang anak.
Apabila menjadi seorang ibu, barulah saya tahu betapa susahnya mak menjaga saya suatu masa dahulu. Kadangkala timbul rasa kesal kerana tidak berupaya menggembirakan dan melakukan pengorbanan besar buat mak. Hanya doa yang mampu dititipkan dan semoga dengan doa ini dapat menggembirakan hati mak yang jauh di 'sana'.
Saya telah menjadi ibu pada usia muda dan menjadi ibu kepada anak yang ramai. Segala pahit getir telah dilalui seperti berjaga malam menjaga anak yang sakit, tidak cukup makan pakai sendiri kerana mendahulukan anak, rasa tertekan kerana penat bekerja di pejabat dan juga di rumah dan sebagainya. Tetapi semua keperitan itu bagaikan hilang dari ingatan sendiri apabila melihat anak-anak membesar dan menurut kata.Oleh itu, buat ibu-ibu di luar sana, bersabarlah dalam menjalani tugas-tugas sebagai ibu kerana pengorbanan ibu besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Dan buat anak-anak di luar sana, jika kita tidak mampu untuk membalas jasa ibu dalam bentuk wang ringgit, usahakan dengan tenaga, jika tidak mampu juga, berdoalah untuk ibu kita. Teruskan usaha itu kerana kelak ibu kita akan mendapat manfaat dengan memiliki kita sebagai anaknya kerana hanya tiga perkara yang akan di bawa oleh manusia ke akhirat iaitu sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya......
No comments:
Post a Comment