Monday, August 1, 2011

Cerita 25 - Ujian

Ramadan menjelma kembali. Alhamdulillah kerana di beri limpah kurniaNya dapat menyambut bulan penuh keberkatan ini. Di dalam bulan ini pahalanya berganda, di bukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

Namun begitu, di bulan ini juga ramai manusia diuji oleh penciptaNya. Saya tidak terkecuali dalam  golongan yang di uji ini. Tetapi menonton berita di TV3 malam tadi, membuat saya menginsafi diri. Di kala saya sendiri 'berjuang' untuk menghadapi bulan Ramadan ini, rupanya ramai lagi insan-insan yang di uji oleh Allah s.w.t.

Tentang berita penutupan kilang yang menyebabkan hampir 300 pekerja kehilangan pekerjaan dan juga pemberhentian kerja pemandu bas seramai 20 orang di Utara pada 1 Ramadan menyebabkan saya tersentak kerana hanya terfikir nasib diri tetapi rupanya masih ramai lagi insan yang susah di luar sana. Terasa sedih dan sayu melihat seorang lelaki mengalirkan airmata tatkala ditanya tentang pemberhentian kerja oleh majikannya. Hanya mampu merayu moga-moga dapatlah beliau membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri buat keluarganya.

Ya, Allah hanya menguji dan Dia Maha Mengetahui sejauhmana kekuatan hambaNya. Memang mudah untuk berkata-kata, tetapi hanya mereka yang melalui akan merasa peritnya. Tetapi sebagai hambaNya, hendaklah dipasakkan ke dalam hati dan pemikiran, segala rezeki bukan milik kita. Rezeki ditanganNya dan sebagai hamba kita hendaklah berusaha, berdoa dan bertawakal semoga dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya. Nasihat saya kepada mereka dan juga kepada diri sendiri, jangan susah hati kerana bersama kesulitan dan kepayahan itu, adanya kesenangan. Berusaha dan bertawakal...
Abu Hurairah ra. berkata , Rusulullah saw. bersabda:
"Pertolongan dari Allah diturunkan dari langit menurut kadar beban keperluan dan turunlah kesabaran menurut kadar ujian musibah. Jika engkau telah selesai dari urusan duniamu maka tegakkan dirimu untuk melakukan ibadah dan kepada rahmat Tuhanmu sajalah engkau tetap berharap". 

No comments:

Post a Comment